Wednesday 12 June 2013

AZHEEM... Buah hati Abah.


BERSYUKUR
Saya bersyukur kepada Allah di atas limpahan kurnianya. Dikala sebahagian rakan yang sedang mencari pasangan hidup saya dijodohkan dengan isteri saya dan diberi bonus seorang anak. Saya amat merasakan ianya adalah nikmat. Nikmat mempunyai seorang zuriat. Tidaklah tergambar dengan kata dan bahasa. Ia melengkapkan kehidupan dan memberi kebahagiaan.

Menyorot kembali sewaktu kelahiran Azheem di Hospital Pantai Ipoh, saya menemani isteri berada dalam wad bersalin. Datin Dr Mimin Sachlin yang menyambut kelahiran Azheem meminta saya memegang tangan isteri dan membisikkan kata semangat agar kelahiran bertambah mudah. Alhamdulillah lebih kurang 45 minit Azheem selamat keluar dari Rahim ibunya. Perasaan bercampur baur, sedih dan gembira. Terasa ingin menitiskan air mata. Saya tidak mampu berkata apa-apa selain memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Hanya satu persoalan yang melintas di fikiran “Adakah aku mampu memeliharanya dengan baik serta mendidiknya menjadi insan yang berguna?”

Azheem membesar seperti kanak-kanak lain. Saya merasakan ianya sempurna. Saya perasaan dia agak lambat berjalan tapi Alhamdulillah sekarang pada usia dua tahun dia sudah boleh berlari. Bercakap dengan bahasa pelatnya serta mampu memberi ekspresi ketika marah dan seronok.

RINDU
Saya masih teringat semasa Azheem masih bayi. Ketika itu saya akan cuba melakukan apa jua kerja dengan pantas. Sebabnya saya ingin bersamanya dan melihat wajahnya. Saya abadikan masa bersamanya dan tidur di tepinya. Sekalipun saya pulang ke kampung setiap bulan untuk menemuinya namun waktu itu sesingkat cuma. Saya mengambil peluang melihat setiap pergerakannya. Dia menggerakkan tangan dan badan juga mengeluarkan bunyian sambil membuat mimik muka. Anehnya perbuatan tersebut ibarat berjangkit pada saya. Apabila saya kembali bekerja di Kinabatangan Sabah, terkadang mulut saya tergerak-gerak hingga mengeluarkan bunyian sepertimana yang dilakukan Azheem. Mujur ianya berlaku ketika saya bersendirian di bilik. Kata orang tua itu disebabkan terlalu rindukan anak. Mungkin ada benarnya.

Hari berganti. Ketika usianya mencecah satu tahun dia sudah agak kuat. Dia sudah merangkak dan faham apabila saya berinteraksi dengannya. Peluang bercuti dari Sabah akan saya manfaatkan untuk membawanya berjalan. Saya membawanya ketika membeli sarapan pagi, ke kedai membeli barangan serta melepaskannya di masjid yang luas untuk dia bebas merangkak ke sana sini. Adalah menjadi kepuasan bagi saya bersamanya setiap saat dan ketika.

LUCU
Ada perkara-perkara yang membuatkan saya ketawa melihatnya. Saya kurang pasti samaada dia sedar yang tindakannya itu melucukan  atau dia sekadar melakukan tanpa sebarang perasaan. Terkadang dia membuat muka ganas dengan cara menundukkan mukanya dan menjegilkan mata. Tapi yang lucunya dalam masa yg sama mulutnya mengukir sedikit senyuman. Demikian juga dia memanggil saya dengan panggilan “abang” kerana mengikut cara panggilan isteri saya terhadap saya. Isteri saya pula dipanggilnya nama panggilan iaitu “Ina”.

“Abangggg” Azheem memanggil saya. “Bukan abang lah, Abah” tegur isteri. “Abah abah abah”. Dia memanggil sambil tersenyum.

Diantara lain yang melucukan saya ialah apabila Azheem belajar menyebut perkataan. Ketika membuka buku gambar-gambar haiwan ibunya mengajar menyebut mengikut suku kata. “Zi”… “ziii” Azheem menjerit. “Ra”… “raaa”… “fah”… “fah”… “ZIRAFAH” sebut ibunya. “PAPAPAH” balas Azheem.

Ketika belajar menyebut buahan pula. “Du”…. “du”, “ri”… “ri, “yan”…. “yan”. “DURIAN”…. “YAYAYAN”. Ni buah ape? Soal ibunya. “Yayayan” jawab Azheem. “Bukan yayayan, tapi durian”. Balas ibunya. “Yayayan” jawab Azheem.

Demikian juga tatkala melihat gambar KLCC dan KL Tower. Ibunya mengajar “K”.. “K”, “L”.. “L”,.. “C”.. “C”, “C”.. “C”… “KLCC” sebut ibunya. “CCC” jawab Azheem. “K”.. “K”, “L”.. “L”, “TA”.. “TA, “ WER”.. “WER”. “KL Tower” sebut ibunya. “WER WER WER” balas Azheem.

EKSPRESSI
Kini Azheem juga sudah pandai berekspressi. Kadang-kadang dia mengamuk, gelak besar dan merajuk. Apabila keinginannya tidak dipenuhi dia mula marah-marah serta memukul. Ia adalah normal bagi kanak-kanak kecil. Maka saya akan mendukungnya, memeluk dan mengucapkan “Abah sayang Azheem”. Kebiasaannya dia akan cepat reda dari perasaan marah. Namun perkara yang amat manis apabila dikenang tatkala Azheem memeluk emaknya sambil menyebut “sayang mak” tanpa sebarang sebab. Demikian juga apabila memberinya sesuatu dia menyebut “macih abah” tanda penghargaan. Ketika menyuap makanan ke mulutnya dia menyebut “miyah” yang bermaksud Bismillah. Terasa dunia ini amat indah.

Sesekali apabila dia kebosanan dia akan menarik tangan saya dan berkata “Abah, ayiiii”. Dia mengajak saya berlari. Kami melompat, berkejaran serta melakukan pelbagai aksi. Saya terasa seperti kembali menjadi kanak-kanak. Apa yang pasti ia memori indah yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Azheem begitu ceria dan akan gelak kuat sewaktu bermain. Saya akui saya tidak cukup “fit” melawan tenaganya. Selalunya saya yang mengalah dan berkata kepadanya “Abah letih dah Azheem”. Saya terbaring keletihan tapi Azheem pula menyambung bermain permainannya.

19 SEPTEMBER 2012 – Alhamdulillah Azheem dah berumur dua tahun. Dia lebih cergas, berat badannya bertambah, banyak bercakap serta pandai memilih. Semoga dia terus sihat dan membesar seperti kanak-kanak yang lain. Sebagai ayahnya saya hanya mampu berdoa agar Allah memberi kekuatan untuk saya mendidiknya menjadi insan sholeh yang berguna kepada agama dan masyarakat serta kecintaan kepadanya tidak membuatkan saya lalai dari mengingati Allah.

Firman Allah, maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun ayat 9)
TASRIP KHALIM 

Perhatian:
BAGI YANG MENDAPATI PERKONGSIAN INI BERMAKNA DAN BERMANFAAT, 
ANDA BOLEHLAH MELAWAT DAN 'LIKE' PAGE IBU ROSE INI  - Ke Facebook Ibu Rose

No comments:

Post a Comment