Tuesday, 27 August 2013

Peranan Bapa Mendidik Anak Dalam Islam

On 23 August 2013 by Melastik Bintang
Peranan Bapa Mendidik Anak Dalam Islam

Pendidikan terhadap anak-anak perlu diterapkan sejak kecil lagi dan lebih bagus jika dididik sejak mereka dalam kandungan lagi. Mendidik anak-anak bukan tugas yang mudah tetapi sebagai ibu bapa kita seharusnya mengambil berat dan memberikan fokus sepenuhnya dalam mendidik anak-anak kita. Anak-anak memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari ibu bapa mereka, jika kita sebagai ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap mereka, mereka ini akan hilang arah dan punca dalam hidup mereka. Disebabkan itu juga banyak berlakunya gejala-gejala sosial yang melanda anak muda zaman sekarang.

Kerana itulah pepatah mengatakan ‘ melentur buluh biarlah dari rebungnya ‘, yang bermaksud jika hendak mendidik anak biarlah sejak kecil lagi kerana jika sudah besar agak sukar dalam mendidik mereka kerana sudah tidak mampu untuk dilentur.

Semasa masih ‘rebung‘, ia masih ‘lembut‘ dan mudah dilentur juga dibentuk, tetapi perlu berhati-berhati kerana ada etika dan caranya untuk melentur. Tetapi bayangkanlah jika sudah menjadi ‘buluh‘, memang tidak terdaya untuk melentur kerana sifat buluh itu sendiri sudah menggambarkan bahawa kekuatan buluh itu mengatasi kekuatan besi, jika dilentur ia akan kembali ke sifat asalnya. Begitulah proses yang boleh digambarkan semasa kita sebagai ibu bapa mendidik anak-anak.

Topik kali ini MB akan lebih fokuskan mengenai ” Peranan Bapa Mendidik Anak Dalam Islam “. Artikel ini diterbitkan kerana ada permintaan dari rakan MB iaitu Kak Maya Marz yang inginkan MB untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan MB dalam tajuk ini di ruangan Family Guru ( Prof.Dr.Rozieta Shaary ).

Bapa merupakan ketua keluarga di dalam sesebuah institusi keluarga tidak kira yang besar ataupun kecil, tetapi tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita sebagai kaum bapa juga sebagai ketua keluarga amat berat lebih-lebih lagi peranan kita dalam mendidik anak-anak di samping isteri. Sebagai bapa jangan sesekali anda meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas isteri anda dalam mendidik anak-anak, sebaliknya kongsikan tanggungjawab itu bersama. Ingat, tanggungjawab tidak pernah lari dari kita, tetapi kita sebagai manusia yang sering lari dari tanggungjawab.
Peranan Bapa Mendidik Anak Dalam Islam



Dalam sebuah hadith, Rasulullah Muhammad S.A.W pernah bersabda,

“ Seorang ayah yang mendidik anak-anaknya adalah lebih baik daripada bersedekah sebesar 1 sa’ di jalan Allah. ” Nabi pun mencontohkan, bahkan ketika beliau sedang disibukkan dengan urusan menghadap Allah SWT (shalat), beliau tidak menyuruh orang lain (atau kaum perempuan) untuk menjaga kedua cucunya yang masih kanak-kanak, Hasan dan Husain. Bagi Nabi, setiap waktu yang dilalui bersama kedua cucunya adalah kesempatan untuk mendidik, termasuk ketika beliau sedang shalat.

Mendidik anak memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup dan seorang ‘role-model’ untuk diteladani. Bagi umat Islam, contoh teladan yang terbaik adalah rasul junjungan yang mulia, Nabi Muhammad S.A.W. Baginda umpama ensiklopedia sebagai penyuluh buat segenap manusia.

Apa yang dapat diperhatikan hari ini ialah dilema yang dihadapi oleh ibubapa apabila setiap usaha yang mereka lakukan untuk mendidik anak-anak seperti mencurah air ke daun keladi. Setelah dididik dan tiada perubahan positif yang terjadi pada tingkahlaku mereka. Jika tugas sebagai seorang guru di sekolah boleh mendidik beratus-ratus anak murid, tetapi ianya bukan jaminan kita mampu mendidik pada anak sendiri. Tetapi dimanakah silapnya? Oleh itu mari kita kembali kepada fitrah dan sunnah yang sekian lama diamalkan rasul junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.

4 tahap dalam mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah

Tahap Pertama : ( 0-6 tahun mumayyiz )
Pada masa ini, anak hendaklah disayangi dengan sepenuh hati oleh ibu bapa, dibelai dengan kasih sayang, diajak bermain dan bergurau. Natijahnya agar anak sentiasa sedar rujukan terbaik bagi mereka dalam semua hal yang mereka hadapi.

Tahap Kedua : (7-14 tahun)
Ketika ini, ibu bapa hendaklah mendidik mereka dengan kasih sayang tapi tegas dengan arahan, disiplin dan beri mereka tanggungjawab. Didiklah mereka tentang solat, puasa dan ibadah lain.

Tahap Ketiga : ( 15-21 tahun)
Hendak mendidik mereka dengan cara berkawan. Bertukar pendapat dan menghormati pendapat mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap Keempat : (21 tahun ke atas)
Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal. Anak adalah amanah & tanggungjawab kita bukannya hakmilik.

Berikut antara beberapa perkara yang MB terapkan di dalam keluarga dalam mendidik anak. Mungkin boleh dikongsikan dengan pembaca.

------------------------------------------------------------------------------------
1. Didikan Semasa dalam Kandungan

Sebagai bapa, tugas MB mendidik anak mengikut cara hidup islam bermula sejak anak MB dalam kandungan lagi. Kerana ini yang sering diterapkan kepada kita sebagai ibu bapa semasa menanti proses kelahiran bayi. Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan semasa isteri sedang hamil dalam mendidik anak. Antaranya ialah kita boleh memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, zikir-zikir semasa isteri sedang hamil. Walaupun di dalam perut, mereka mendengar dan merasai apa yang kita lakukan untuk mereka. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan berzikir seharusnya kita lakukan kerana ianya dapat menenangkan hati si isteri dan anak dalam kandungan. Pesan juga kepada isteri setiap kali solat, banyakkan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan.

2. Mengajari Anak untuk Melaksanakan Ibadah

Jika anda mempunyai anak yang dalam lingkungan umur 1 hingga ke 2 tahun, ini masanya anda sebagai bapa untuk tingkatkan usaha dalam mendidik anak anda. Kalau boleh di rumah, pastikan semasa anda hendak solat, membaca Al-Quran atau berzikir, anak anda ada disisi anda supaya mereka melihat apa yang anda lakukan. Kerana sewaktu ini anak-anak yang berusia dalam linkungan tersebut mudah memahami dan mereka mempunyai keinginan untuk mengikuti apa sahaja yang ‘role model‘ mereka lakukan di rumah. Sebab itulah dalam keadaan ini pastikan anda menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Mereka bejalar sesuatu dari kita juga melalui percakapan, perbuatan dan sikap kita.

Seperti anak MB, Rayhan, alhamdulillah setiap kali azan berkumandang beliau akan pergi cari kopiahnya dan ambil sajadah dan akan mengikuti MB untuk bersolat. Memang pada hakikatnya beliau tidak tahu bersolat, tetapi bukan kah ianya sesuatu yang indah bila anak anda peka terhadap azan berkumandang, memakai kopiah, mengambil sejadah dan mengangkat takbir walaupun baru berusia 1 tahun 8 bulan? Hanya sebab MB melakukan persiapan untuk bersolat dan ingin menunaikan solat di hadapan beliau, secara tidak langsung beliau juga mengikuti apa yang MB lakukan. Kita juga telah berjaya mendidik mereka untuk bersolat walaupun tidak sempurna, dan menunaikan kewajipan sebagai umat islam. Sekarang anda lihat betapa pentingnya ‘role model‘ bukan?

3. Mengajarkan Al-Quran, Hadits serta Doa dan Zikir yang Ringan kepada Anak-anak

Selain itu juga, di dalam keluarga kalau boleh cuba terapkan budaya menonton rancangan-rancangan yang berunsurkan ciri ciri keislaman seperti forum agama, ceramah agama, dan kisah-kisah yang baik dan boleh jadikan teladan pendek kata kisah yang membawa kebaikkan kepada aqidah dan akhlak kita sebagai umat islam. Elakkan menonton rancangan yang tidak memberi sebarang faedah kepada anak anda. Dapat dilihat sekarang, anak-anak lebih gemar menonton rancangan kartun dan rancangan yang tidak berfaedah, ibu bapa seharusnya menghadkan masa mereka menonton rancangan kartun malah perlu di selang selikan dengan rancangan yang berfaedah, disini tidaklah bermaksud anak-anak langsung tidak boleh menonton kartun. Dalam konteks membesarkan anak dalam islam, pupuk anak anda dengan rancangan yang mendekatkan diri dengan islam.

Untuk makluman semua, pengaruh yang diberikan oleh media masa seperti televisyen amat besar dan ada risikonya. Jadi kawal aktiviti anak anda semasa menonton televisyen. Di rumah, anak MB memang tidak gemarkan kartun dan jika kita buka siaran kartun pun beliau tidak akan menonton. Kerana sejak kecil MB tidak dedahkan dengan rancangan kartun, sebaliknya MB akan buka channel Astro 106 Oasis dimana ada rancangan zikir, lagu lagu nasyid iaitu siaran Indahnya Iman. Setiap hari kalau boleh anda sebagai bapa cuba duduk bersama dengan anak anda menonton siaran ini sambil melaungkan atau menyanyikan lagu-lagu tersebut bersama mereka. In Syaa Allah mereka akan turut ikut sama.Bukankah anda akan gembira bila mana anak anda sudah pandai menyebut perkataan ‘Allah’ ?

4. Dedahkan mereka dengan Dunia Islam di Luar

Jika anak anda sudah besar dan bijak sedikit, apa kata anda dedahkan pula kepada mereka kepada dunia islam di luar.

Contohnya anda boleh membawa anak anda ke masjid atau surau bersama-sama anda untuk solat berjemaah. Hari demi hari cuba bawa mereka bersama ke masjid supaya mereka dapat lebih input lagi di rumah Allah S.W.T. Mereka akan rasa lebih seronok bila dapat berjumpa kawan-kawan di masjid dan bila masuknya waktu solat ajak anak anda untuk bersolat sekali samada di sebelah anda ataupun di belakang anda. Tetapi pastikan anak anda tidak melakukan kekacauan semasa jemaah sedang bersolat. Terapkan budaya solat berjemaah di masjid. Anda juga boleh membawa anak anda dan isteri ke majlis majlis ilmu agama.

5. Melarang Anak dari Melakukan Perbuatan yang Diharamkan

Salah satu perkara yang kadang kala ibu bapa terlepas pandang ialah dalam menerangkan kepada anak mereka tentang perbuatan yang haram di dalam islam. Dalam islam sudah tentu ada halal dan ada yang haram untuk kita lakukan sebagai umat islam. Perkara ini harus dipandang serius kerana tanpa bimbingan anda, anak-anak anda akan mudah hanyut. Adakah anda mahu melihat anak anda tidak tahu membezakan antara yang halal dan haram di dalam islam? Memang di sekolah ada di ajarkan perkara-perkara begini, tetapi sesetengah anak-anak kurang memberikan fokus di dalam kelas, dan waktu ini peranan kita sebagai ibu bapa harus menerangkan kepada mereka isu halal dan haram. Terangkan kepada mereka apa akibatnya jika melakukan sesuatu yang diharamkan dan kaitannya dengan islam.

Kita sebagai umat islam, haruslah mendidik anak-anak kita dengan cara islam jika bukan kita siapa lagi yang hendak mendidik anak-anak kita. Jangan letakkan sepenuh tanggungjawab tersebut kepada guru di sekolah, kerana masa anak anda dan guru amat terhad.

Malah sebenarnya sejak anak kita lahir lagi kita boleh menerapkan amalan di dalam islam. Kita sepatutnya melakukan perkara-perkara sunnah contohnya seperti:

Setelah anak anda dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya. Sejak lahir lagi tugas bapa dalam mendidik anak telah pun bermula.

Hadits Riwayat Imam Abu DAud daripada Ubaidillah bin Abu Rafi’ dari bapanya katanya: “Aku melihat sendiri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengumandangkan azan seperti azan sembahyang pada telinga Hasan bin Ali ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah Radhiallahuanha.“

Sebagai suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Musa Radhiallahuanhu katanya: “(Isteriku) telah melahirkan seorang anak. Maka Bayi itu aku bawa kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang telah dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku. “

Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.

Ringkasan yang boleh MB katakan ialah semuanya datang dari kita sebagai ibu bapa dalam mencorakkan anak kita. Anak-anak mengikut acuan kita, jika baik didikan kita maka In Syaa Allah baiklah didikan mereka, tetapi jika buruk didikan kita maka buruklah didikan mereka juga. Kita sebagai ‘role model’ di dalam keluarga dan ketua keluarga haruslah memberi penekanan di dalam didikan anak-anak kita sendiri di samping bantuan isteri juga.

http://www.melastikbintang.com/informasi/peranan-bapa-mendidik-anak-dalam-islam.html

No comments:

Post a Comment