Thursday 18 December 2014

Fb Warga Prihatin: PETUA MENJADI IBUBAPA, ABANG KAKAK YANG TENANG DAN REDHA


PETUA MENJADI IBUBAPA, ABANG KAKAK YANG TENANG DAN REDHA

Ada pembaca yang mengadu merasa tertekan dengan karenah ibubapa dan abang kakak mereka. Masing-masing asyik mengungkit-ungkit jasa terhadap mereka katanya. Habis sahaja belajar sudah ditagih sumbangan terhadap ibu bapa sekian-sekian banyaknya sampai untuk belanja sendiri hidup di KL ini pun tidak cukup. Akhirnya terpaksa menyewa bilik dan naik bas sahaja. Gaji bulanan semua sudah di'tempah'.

Waktu itu si ayah ada pendapatan, masih kuat dan bertenaga. Abang dan kakak juga masih bertenaga. Agak stress juga bila masing-masing memberikan tekanan untuk menghulurkan bantuan kewangan yang tidak seberapa sebab baru sahaja tamat pengajian dan mula bekerja. Yang diminta pula bukan untuk keperluan, tapi lebih kepada memenuhi selera. Ada yang pinjam duit nak bayar pendahuluan beli kereta, ada yang nak besarkan rumah dan sebagainya.


Apabila permintaan ayah dan abang kakak tidak dipenuhi, maka masing-masing mula mengungkit itu dan ini. Si ayah seolah-olah memikirkan yang membiayai pendidikan dan nafkah hidup si anak itu sebagai satu pelaburan yang harus segera dibayar balik keuntungannya. Habis sahaja belajar, baru mula bekerja, gaji pertama pun belum dapat lagi dah banyak senarai pelan kewangan yang diminta.

Abang kakak juga begitu. Tanpa mengetahui si ayah sudah ada perancangan yang macam-macam, abang kakak juga sudah mengajukan berbagai permohonan. Ada yang nak pinjam slip gaji untuk buat loan, ada yang nak pinjam duit terus dan berbagai-bagai lagi.

Di samping tidak mampu memenuhi jumlah yang diminta, diterangkan juga yang adik ini tidak mahu terlibat dengan unsur ‘riba’. Namun apabila permintaan masing-masing tidak dipenuhi, habis diungkit segala ‘jasa’ terhadap adiknya. Padahal si kakak dan abang adalah guru besar sekolah agama, tak mungkin tidak tahu yang riba itu haram?

Akhirnya keluarlah semua cerita-cerita belakang bahawa dialah dahulu yang tolong emak membasuh berak kencing kita, tolong buat susu dan suap makan kita. Mereka jugalah yang boncengkan kita naik basikal ke sekolah dan sebagainya. Semakin hari si adik semakin berjauh hati dan membawa diri. Inilah kisah masyarakat yang banyak terjadi.

TERHAPUS AMAL APABILA DIUNGKIT-UNGKIT

Baik buruk pengalaman seperti ini ada pelajarannya. Kami kemukakan sebagai perkongsian untuk dijadikan pelajaran kita dan sebagai bahan tausiah kepada anak-anak agar tidak mengulangi tabiat yang sama apabila sampai masanya kelak.

Bila jadi ibubapa, jangan sekali-kali ungkit jasa kita pada anak-anak. Jangan paksa pun anak-anak balas budi kita kerana itu adalah tanggung jawab dan kewajiban kita sendiri. Untuk anak-anak itu, Allah sudah aturkan pendidikan khusus buat mereka agar menghormati dan membalas jasa orang tua. Biarlah mereka berbuat kerana perintah Allah terhadap mereka, bukan kerana kita yang mendesak dan menggesa mereka. Tidak perlulah orang tua mengemis jasa mereka.

Bila kita jadi abang atau kakak, jangan kita ungkit-ungkit kisah kita kena basuh berak adik-adik, kena tolong emak basuh kain berdarah sewaktu melahirkan adik-adik, kena tolong emak abah cari nafkah dan sebagainya. Ini kerana semua itu memang sudah jadi kewajipan kita sebagai anak dan abang atau kakak yang lebih tua.

ZIKIRKAN JASA ORANG TERHADAP KITA

Di samping habit mengungkit jasa kita kepada orang, kita sering lupa menilai dan menzikirkan jasa orang lain kepada kita.

Waktu kita kecil, emak abah, abang kakak yang cebokkan kita. Itu jasa mereka terhadap kita. Bila kita sudah besar sedikit, kita pula cebokkan adik kita, dodoi dan diamkan tangisnya. Itu pusingan alam yang kita lalui. Kerana itu, jangan sekali-kali kita merungut dan mengungkitnya pula.

Seorang adik meluahkan perasaan terhutang budi terhadap abangnya. Itu amat wajar dan murni sekali. Antaranya kerana si abang yang belajar tinggi telah kongsikan ilmu dan wadah perniagaan yang dicetuskan buat membantu membimbing adik dan saudara-saudara lainnya berniaga menggunakan iktisas dan sijil yang si abang perolehi. Akhirnya si adik berjaya dalam perniagaan walaupun sekolah tidak tinggi.

Di sebalik itu si abang merasa tidak selesa apabila si adik asyik mengulangi perasaan terhutang budi lalu menceritakan sesuatu di sebalik itu. Si abang katakan walaupun si adik tidak sekolah tinggi, tapi sedikit sebanyak komitmen yang telah diberikan sewaktu bersama berniaga tetap dinilai sampai bila-bila. Si Abang lebih suka zikirkan kebaikan yang sempat dirasai dari jasa adik-adiknya, berbanding memikirkan jasa si abang terhadap mereka.
Sewaktu si Abang belajar di Universiti, si adik yang bekerja di kampung jugalah yang tolong ibu ayah mencari rezeki, memikul tanggungjawab menjaga ibuayah. Si abang berhutang jasa adik terhadap ibu ayah. Kadang kala si adik juga sempat hulurkan seringggit dua kepada si abang ketika sesaknya. Sewaktu si abang duduk di asrama, adik yang tidak sekolah itu juga yang kayuh basikal ke bandar untuk kirim makanan dan wang belanja. Itu semua antara jasa adik yang harus dikenang.

Sebagai abang dan saudara yang sudah berjaya, maka dia pula merasa bertanggungjawab kongsikan ilmu dan kepakaran yang ada. Itulah kail yang dapat si abang berikan kepada adik, kakak dan abang yang tidak belajar tinggi memancing rezeki. Adik kakak yang tidak berpeluang masuk universiti juga berhak menerima serpihan ilmu, kepakaran dan kredit atau goodwill yang si abang miliki.

BELAJAR BERBEDAK DAN MUHASABAH DIRI

Apabila kakak dan abang asyik mengungkit-ungkit jasa mereka terhadap adik dan ibubapa, maka si adik akan berjauh hati dan serba salah. Kadang-kadang berlaku semacam umpatan yang mengatakan si adik lupa diri dan sebagainya.

Sekalipun jika memang si adik itu tersilap tidak membalas jasa kita, mungkin terlupa atau tidak mampu, perlu juga kita tahu adab dan seni dalam berdakwah membetulkannya.
Islam itu agama ilmu dan amal, agama hudan dan bainat, agama yang benar dan lurus. Fakta yang benar dan disampaikan oleh si kakak atau abang yang bergelar ustaz / ustazah sekalipun, jika penyampaiannya tidak lurus dan murni, akhirnya akan menyakitkan hati dan boleh menimbulkan fitnah dan perpecahan keluarga. Kemurnian persaudaraan Islam akan luntur, kasih sayang Allah dan respek dari manusia juga akan hilang.

Bahaya apabila kita terlalu mengutuk dan suka menuding orang lain begitu dan begini. Lebih banyak kita mengata, lebih jauh orang lari dan membenci kita.

Dalam perniagaan, jika jualan kita tak laku, jangan marah pembeli, jangan marah pesaing kita di kedai sebelah, jangan cari santau dan manderem, atau buat fitnah untuk menjatuhkan orang lain. Cutilah menjual barang semiggu untuk mencari mana silap kita, juga apa kurangnya produk kita.

Jika wajah kurang menarik, jangan sakit hati pada orang lain. Jangan conteng arang pada wajah orang agar kita kelihatan baik sedikit. Belajarlah berbedak agar kelihatan lebih elok. Itu lebih baik.

KESIMPULAN

Anak-anak, adik-adik lebih menilai perbuatan kita berbanding perkataan dan seruan kita. Orang yang berjasa dan ikhlas menjalankan tanggungjawabnya kerana Allah dan dengan faham Allah tidak sekali-kali akan mengungkit dan meminta balasan secara mendesak. Begitu juga jika kita ibubapa dan kakak abang yang baik. Nak menceritakan kebaikan atau jasa mereka pada si adik pun malu. Apatah lagi nak mendesak meminta balasan.

Apa yang kita kata harus sepadan dengan apa yang kita buat. Ada kalanya anak atau adik melihat kerjabuat ibu ayah dan abang kakaknya. Orang yang banyak cakap tapi tidak melaksanakan apa yang dikata amat dibenci Allah (QS:61/2-3). Jika Allah benci dengan mereka, maka hamba yang patuh kepada Allah akan ikut membenci. Itulah kaedah pentajalian kebencian Allah di bumi nyata. Itu fitrah alam yang telah Allah aturkan.
Allah katakan “orang Munafiq dan Fasiq adalah penghuni kerak api neraka”.

Jika kita adalah jenis yang tamakkan harta, suka mengambil kesempatan dari milik orang lain, maka tidak perlulah kita menjual nama Allah dan ibubapa untuk meraih simpati adik-adik. Jika kita memang berada di tempat yang benar, pasti orang akan suka dan membalas jasa kita tanpa diminta-minta. Jika kita asyik mendesak dan memaksa orang suka dan berbudi kepada kita, maka itu tandanya kita masih lemah dan tiada kebaikan diri secara hakiki.

Sebagai ibu dan ayah, kakak dan abang, kita ada tanggung jawab terhadap anak-anak dan adik-adik. Jika kita melaksanakan sesuatu atas dasar kesedaran dan tanggungjawab, pasti kita tidak akan mengungkit-ungkit dan menagih balasannya.
Kebaikan yang kita lakukan tanpa diketahui si penerima jasa kita, itu adalah bonus. Bila kita ceritakan sampai si penerima terasa itu sebagai ungkitan, maka kebaikan itu akan luntur dan hilang. Demikian mafhum firman Allah. QS: 2/264

Akhirnya, Sebagai ibu bapa dan abang kakak, jangan hanya fikir kebaikan kita terhadap adik-adik atau anak-anak sahaja. Fikirkan juga sedikit sebanyak jasa mereka terhadap kita. Ada kalanya mereka masih bawah umur, belum layak untuk berjasa kepada kita pun, tetapi desakan hidup memaksa adik / anak-anak melakukannya. Itu juga wajar dikenang dan dizikirkan.

Marilah berbuat kerana Allah. Di RPWP kami seru murobbi dan murobbiah, ibu/bapa, guru, abang kakak agar semuanya berbuat hanya kerana Allah. Bukan kerana mengharap balasan dunia. Kita berjasa kepada anak yatim dan asnaf, kepada ibubapa, kepada anak dan adik kerana itu semua adalah perintah Allah dan memang menjadi kewajiban kita. Oleh itu, biarlah anak-anak atau adik itu berbuat kebaikan kepada kita juga kerana menyedari itu suruhan Allah, bukan atas desakan dari kita.

Sering-seringlah muhasabah, bedah dan sucikan hati kita sendiri (QS:17/14-15). Nabi SAW yang maksum dan al-Amiin itu pun 3 kali kena belah dadanya. Lebih 100 kali baginda beristighfar sehari. Kita pula bagaimana?

 WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment