Wednesday 24 July 2013

EDISI KHAS: KASIH-SAYANG DAN KELUARGA

Semasa kita mula lahir, kita datang dengan penuh perasaan kasih sayang. Sehari demi sehari, bila kasih sayang itu dicemar dengan sikap negatif penjaga kita dan sekeliling kita, kita mula hilang kekuatan diri kita. Namun fitrah manusia memerlukan kasih sayang, maka kta terus mencari.

Jika pencemaran ke atas perasaan kasih yang wujud semulajadi dalam diri kita itu hebat, maka jadilah kita manusia yang tidak seimbang atau seperti berjalan tempang dalam hidup kita. Kita lihat bagaimana orang yang melakukan perbuatan jenayah, kebanyakkannya mengalami ketandusan kasih sayang kepada manusia malah dirinya sendiri. Kasih sayang yang pernah wujud pada suatu ketika dahulu didalam hati mereka, berganti dengan perasaan benci dan dendam. Hati mereka rosak. Roh mereka rosak. Justeru itu mental mereka juga menjadi tidak menentu. Lantaran itu fizikal mereka hanya mahu merosakkan dan membinasakan.

Menuruh Dr. Ross Campbell, seorang ahli Psaikatris kanak-kanak dan remaja berkata, sebagai kiasan, setiap anak mempunyai ‘tangki emosi’ yang perlu diisi dengan kasih dan sayang. Bila tangki ini penuh, maka anak itu akan merasa dikasihi dan mampu mengasihi. Bila tangki ini kosong, maka anak tersebut akan melakukan perbuatan yang selalunya selalunya tidak baik untuk mengagih kasih sayang.

Walaupun sudah mencecah dewasa atau umur menua, manusia masih membawa tangki emosi ini.Adakalanya, tangki emosi kita boleh menjadi terluak juga. Di dalam perkahwinan, jika diantara pasangan itu tidak berusaha memenuhi tangki emosi ini, di sinilah bermulanya masalah yang sering wujud di dalam rumah tangga. Masing tidak boleh merasakan diri mereka disayngi oleh pasangan mereka.

Bayangkan seorang isteri yang tidak penuh tangki emosinya, dia akan senantiasa berasa tidak selamat? Maka timbullah penyakit cemburu buta atau cemburu membuta tuli. Bayangkan pula seorang suami yang ketandusan tangki emosinya, tiada kekuatan dari dirinya untuk berjuang mempertahankan dan menjaga keluarganya.

Bagaimana untuk memenuhi tangki emosi ini? Mudah sahaja. Berikan dan curahkan kasih sayang. Namun, ada yang berkata; “ Tapi saya sudah curahkan kasih sayang tetapi pasangan saya masih merasakan dia tidak dikasihi….masih kosong tangki emosinya!”
Mengapa jadi begini? Bagi pendapat anda mengapa agaknya?

Kalau diibaratkan kasih itu surat, mengapakah bila anda pos surat itu kepada kawan anda, dia tidak menerimanya? Ya, kerana alamatnya salah. Anda hantar surat itu ke alamat yang salah, maka surat itu tidak mencapai sasaranya. Begitu juga dengan kasih . Bila ia disampaikan bukan dengan cara yang boleh difahami oleh pasangan anda maka, ia melepasi sasarannya. Akibatnya kedua-duanya kecewa.

Terdapat beberapa ‘ Bahasa Kasih’ ( love language). Apa yang di maksudkan dengan bahasa kasih ialah cara sesaorang itu menginteperitasikan perasaan kasih pasangannya. Ia merupakan saluran dimana seorang itu dapat dihubungi untuk menunjukkan kasih yang anda pada kita kepadanya. Terdapat lima bahasa Kasih menurut Gary Chapman PH.D


a) Mengesahkan dan menguatkan dengan kata-kata.

Jika pasangan anda menggunakan saluran ini untuk menyampaikan dan menerima perasaaan kasih itu, maka apa yang hendak anda lakukan ulangkan selalu perkataan yang mengesahkan perasaan anda itu. Lagi sering anda megungkapkan kata-kata seumpama itu, lagi penuh tangki emosinya. Pasangan anda akan berasa amat dihargai dan dikasihi. Ungkaplah dengan penuh perasaan supaya ia lebih membawa makna.

b) Masa yang Berkualiti.

Pasangan yang begini menginteperitasikan kualiti kasih pasangannya seperti mana masa yang dihabiskan bersama. Mereka akan berasa sangat dikasihi jika pasangan mereka menghabiskan masa bersama. Berkongsi pendapat, berbincang, mendengar rintihannya, melakukan aktiviti bersama dan sepertinya.

c) Menerima Hadiah

Hadiah adalah simbol kasih sayang bagi mereka ini. Bagi mereka ini, bila pasangan mereka memberi hadiah, mereka dapat merasakan kasih sayang pasangan mereka. Mereka tidak memerlukan hadiah yang mahal-mahal. Kadang-kadang hadiah yang dibuat sendiri menjadi lebih bermakna.

d) Memberi Khidmat

Jika individu yang bahasa kasihnya adalah memberi khidmat dicerca terhadap apa yang mereka lakukan sebagai khidmat kepada anda, maka terbantutlah tangki emosinya.
Jika bahasa kasihnya ialah memberi khidmat, hargailah setiap khidmat mereka, walaupun sedikit. Bila dia meminta khidmat anda, penuhilah. Jika tidak mereka merasakan anda tidak menyayanginya. Anda juga boleh memberikan khidmat kepadanya terutama apabila tidak diminta.

e) Disentuh secara Fizikal

Sentuhan fizikal adalah suatu isyarat kasih sayang bagi mereka ini. Ia menyentuh mereka secara mendalam. Menyebabkan mereka merasai disayangi dan dikasihi. Dari sentuhan yang hanya sedikit kepada sentuhan yang hebat seperti ciuman.

Apabila tangki emosi ibubapa penuh maka penuhlah tangki emosi anak-anak. Kebanyakan rumah tangga musnah kerana dikala krisis masing-masing mengutamakan ego masing-masing daripada mengalah dan mengkomunikasikan kasih sayang melalui bahasa yang difahami oleh pasangan.

Jika masing-masing dengan pegangan,” Dia patut faham saya”…dimanakah kesudahannya melainkan perceraian. Belajarlah menyalurkan aksih sayang anda kepada pasangan anda dengan bahasa kasihnya untuk mengkomunikasikan kasih anda dengan effektifnya.

No comments:

Post a Comment